SINDROM Hutchinson-Gilford atau Progeria ialah sejenis penyakit ganjil yang boleh menyebabkan seseorang akan kelihatan lapan kali ganda tua daripada umurnya yang asal.
Seorang remaja dari Filipina iaitu Ana Rocella yang turut menghidap penyakit ganjil itu dikhabarkan telah meninggal dunia pada minggu lalu.
Ana yang turut mendapat gelaran ‘Gadis tertua di Asia’ meninggal sewaktu usianya menjangkau 19 tahun.
Berita kematian Anna itu disahkan oleh sebuah badan amal, Yayasan Penyelidikan Progeria yang menjalankan kempen penyakit genetik, berpengkalan di Amerika Syarikat.
Menurut sebuah laman antarabangsa, sewaktu Ana berusia 17 tahun, penyakit yang dialaminya menjadikan dirinya kelihatan seperti berumur 136 tahun dengan kedutan yang ketara pada bahagian wajah dan kakinya.
Meskipun telah mengetahui yang umurnya tidak panjang, namun Ana menikmati kehidupan normal sepenuhnya.
“Doktor berkata, saya mengalami penuaan terlalu cepat malah jangka hidup saya pendek, selepas 15 tahun saya akan mati,” ujarnya kepada stesen CNN pada 2011.
Menurut Yayasan Penyelidikan Progeria, sejak ditubuhkan pada 1999, dianggarkan 350 hingga 400 kanak-kanak yang menghidap penyakit ini di seluruh dunia dari 52 buah negara dengan 32 dialek.
Kebiasaanya, punca kematian pesakit yang mengidap sindrom ini adalah disebabkan oleh serangan jantung ataupun strok. – MYNEWSHUB.CC