KEBIASAANNYA, selebriti akan melaram sakan jika diundang ke majlis anugerah dan pada ketika itulah mereka akan berlumba-lumba untuk tampil cantik dan menawan di hadapan ribuan penonton.
Namun penyanyi terkenal, Alicia Keys mengambil langkah drastik yang jarang-jarang sekali dibuat selebriti apabila tampil tanpa sebarang solekan di wajahnya ketika menghadiri Anugerah MTV Video Muzik yang berlangsung di Madison Square Garden, New York, Amerika Syarikat, Ahad lepas.
Hadir polos tanpa sebarang rona mekap di mukanya, penampilan sempoi Alicia dipuji netizen yang suka dengan imejnya itu.
Walaupun tidak mengenakan sebarang solekan namun itu bukanlah bermakna Alicia merupakan seorang yang anti dengan pemakaian alat solek.
Menulis di laman makro Twitter penyanyi No One itu berkata, “Memilih untuk tidak memakai alat solek bukan bererti saya seorang yang anti mekap.”
Penampilannya itu turut dipuji personaliti tv popular yang terkenal dengan mulut lantangnya, Piers Morgan yang mengatakan, imej itu jauh lebih baik daripada gambar-gambar selfie bogel yang sering dimuat naik sosialit Kim Kardashian dan supermodel Emily Ratajkowski di laman sosial masing-masing. – MYNEWSHUB.CC

