SERING kali kita mendengar cerita mengenai si isteri menyerang perempuan simpanan suaminya.
Namun sebaliknya berlaku dalam kes ini apabila perempuan berkenaan melanggar isteri kekasihnya yang ketika itu sedang mengandung.
Ia mengakibatkan si isteri, Huo Jun kehilangan bayi kembar yang dikandungnya. Bagaimanapun tidak diketahui berapa bulan kandungan terbabit.
Lebih malang, selain mengalami patah tulang pinggul, rahimnya juga terpaksa dibuang.
Kejadian berlaku di luar sebuah hotel di Linyi, China, selepas Huo bertembung dengan perempuan simpanan suaminya itu dikenali sebagai Sun Juan.
Ketika itu Huo memandu kereta Porsche milik suaminya, Xu Ya dan Sun pula memandu kereta jenis Kia.
Menurut pengawal keselamatan di situ, dia mendengar bunyi yang kuat dan kemudiannya mendapati Huo terbaring di sebelah keretanya.
Wanita itu dipercayai dilanggar ketika mahu mengambil beg tangan di tempat duduk dalam kereta mewah itu melalui tingkap kenderaan terbabit.
Sementara Sun pula baru keluar dari kereta Kia yang dipandunya. Sun bagaimanapun menafikan dia yang melanggar Hua.
Ketika disoal siasat, Sun mengaku kepada polis bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Xu dan pada hari kejadian, dia mempunyai janji temu dengan lelaki itu.
Semasa sedang memandu, Sun melihat kereta Porsche milik Xu dan terus mengekori kenderaan itu ke hotel.
Sun juga mengakui dia dan Xu saling sayang menyayangi dan tidak dapat hidup tanpa satu sama lain.
Sementara Xu pula memberitahu media, dia dan Sun menjadi kekasih sejak bulan Oktober tahun lepas selepas berkenalan menerusi media sosial.
Jelas Xu, isterinya dan Sun mengenali satu sama lain kerana mereka pernah melihat gambar masing-masing dalam telefon bimbit milik Xu.
Namun Xu memberitahu dia tidak lagi mempunyai perasaan terhadap Sun dan mahu mengakhiri hubungan terlarang itu. Sun telah ditangkap atas tuduhan mencederakan dengan niat. – MYNEWSHUB.CC
