SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun diterbangkan ke sebuah hospital setelah tercampak dari sebuah permainan roller coaster di taman tema keluarga di Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.
Kanak-kanak malang itu jatuh di bahagian tengah permainan disebut sebagai ‘Rollo Coaster‘ di taman permainan keluarga Idlewild & SoakZone, di Ligioner, kira-kira 80 kilometer sebelah timur bandar raya Pittsburgh.
Jurucakap taman permainan itu, Jeff Croushore berkata, mangsa dikatakan dalam keadaan sedar sebelum kejadian tersebut berlaku dan sedang bercakap dengan keluarganya.
Menurut laman Independent, tidak dapat dipastikan kecelakaan itu berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri ataupun kesilapan teknikal.
Pihak polis Ligioner masih menjalankan siasatan manakala Bahagian Keselamatan Taman Hiburan Pennsylvania telah menutup permainan roller coaster itu untuk sementara waktu.
Susulan kecelakaan itu, pihak pengusaha roller coaster taman permainan telah menguatkuasakan peraturan bahawa pengunjung yang ingin menaiki Rollo Coaster mesti memiliki ketinggian minimum sebanyak 39 inci dan jika kurang, mereka haruslah ditemani oleh penjaga atau ibu bapa. -MYNEWSHUB.CC

