PELAKON Josiah Hogan atau nama Islamnya Mohamad Musleh, 30, mengaku sering berhadapan dengan pelakon yang mempunyai sikap ingin menonjol dan sering membunuh dialog pelakon lain.
Menurutnya, ia merupakan perkara biasa dalam bidang lakonan apabila ada pelakon yang mahu kelihatan menonjol berbanding pelakon lain yang terlibat dalam drama atau filem yang sama.
“Pada mulanya ketika saya menceburi bidang lakonan, saya berasa pelik juga apabila ada pelakon yang sentiasa ‘ingin menang’ dalam melakonkan wataknya, padahal bukan peneraju utama pun.
“Mereka mahu nampak menonjol dan sering menambah-nambah dialog sehingga membunuh watak yang lain. Kalau saya berhadapan dengan pelakon seperti ini, saya akan biarkan sahaja dia berbuat demikian,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Josiah, dia tidak mahu ambil pusing dan melayan sikap negatif mementingkan diri sendiri seperti itu.
“Mereka hanya mementingkan diri sendiri dan saya biarkan mereka ‘menang’.
“Industri ini kecil, jika ada bakat, pasti penerbit akan nampak kewujudan kita. Sepatutnya kita cuma bawa watak kita dan jangan overshadow watak yang lain,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

