IPOH- Sebuah sekolah agama terkenal di sini akan membuat laporan kepada pihak polis berkenaan isu dakwaan penderaan seksual yang melibatkan seorang pelajar berusia 10 tahun di asrama sekolah tersebut di Manjoi.
Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah, Datuk Ustaz Kazim Elias berkata, pihak sekolah serta mereka yang terlibat dalam dakwaan tersebut akan membuat laporan kepada pihak polis pada Sabtu.
“Kami tidak membuat sebarang laporan kerana nama sekolah tidak disebut pada awalnya.
“Tetapi oleh kerana sekarang semua sudah tahu, saya rasa kami perlu bersihkan nama kami,” katanya kepada wartawan di sekolah tersebut, pada Jumaat.
“Dakwaan itu adalah amat serius dan kami akan bekerjasama dengan pihak polis.
“Tiada kompromi terhadap mereka yang terlibat,” tambah beliau lagi yang juga seorang pendakwah.
Dilaporkan ibu bapa pelajar tersebut telah menyatakan bahawa anak lelaki mereka telah didera secara seksual oleh pelajar lain. Kenyataan tersebut telah menjadi viral di media sosial.
BACA INI:Â Video Rakam Suspek Cabul Murid Tahun 2 Di Stor
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, pihak polis telah mengambil keterangan daripada 10 individu, termasuk pelajar dan staf.
Selasa lalu, aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi telah mengongsikan sebuah posting yang ditulis oleh ibu bapa mangsa di dalam akaun Facebook miliknya, yang mendakwa insiden penderaan seksual yang sering berlaku di sekolah agama itu.
Sementara itu, Kazim menyatakan bahawa pihaknya telah menyiasat perkara tersebut sebelum ia menjadi viral.
“Selepas menerima aduan daripada ibu bapa, kami panggil dan bertemu dengan mereka yang didakwa terlibat.
“Oleh kerana perkara ini melibatkan reputasi sekolah, agama dan diri saya sendiri, saya perlu mengambil tindakan.
“Hasil siasatan kami tidak menjumpai sebarang insiden seks luar tabii atau pencabulan seperti yang didakwa,” tambah Kazim lagi.
Beliau turut berharap agar masyarakat berhenti membuat andaian sendiri di media sosial dan serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut.
“Saya harap orang ramai tidak akan buat rumusan sendiri.
“Apa-apa yang diperkatakan akan mendatangkan persepsi negatif terhadap sekolah dan juga saya,” jelas Kazim.
“Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk tindakan selanjutnya terhadap mereka yang menjadikan isu ini viral,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC

