KUALA LUMPUR – Industri teksi tidak akan dikawal selia tidak lama lagi bagi menyediakan platfom yang sama bagi perkhidmatan teksi biasa dan pesaingnya, Uber dan GrabCar.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata peraturan tambahan akan dikenakan kepada pemandu Uber dan GrabCar, manakala teksi akan menjalani penyahkawalseliaan bagi membolehkan mereka bersaing dengan perkhidmatan berteknologi baharu itu.
“Kami akan membatalkan kawal selia perkhidmatan teksi, yang akan mempunyai beberapa sekatan dan peraturan seperti PSV (lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam).
“Untuk Uber dan GrabCar, mereka perlu mempunyai kad pemandu yang dikeluarkan oleh SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan 10 Arah Ekonomi Strategik (10 ESD) MCA Ke-2 di sini hari ini.
Liow berkata bagaimanapun, kementerian akan memberikan kuasa kepada SPAD untuk membatalkan kawal selia terhadap syarat untuk pemandu dan teksi, serta Uber dan GrabCar.
Sebuah portal berita melaporkan pada Khamis bahawa perkhidmatan Uber dan GrabCar akan beroperasi secara sah tidak lama lagi.
Laporan itu menyebut keputusan itu dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah membentangkan 11 inisiatif kepada Kabinet pada Rabu untuk membaik pulih industri teksi konvensional dan meluaskan perkhidmatan pengangkutan dengan menjadikan Uber dan GrabCar beroperasi secara sah di sisi undang-undang.
Menurut SPAD, terdapat kira-kira 77,000 pemandu teksi berdaftar di negara setakat ini. – BERNAMA