SALAH seorang ahli kumpulan Bocey iaitu Abam berhasrat untuk menunaikan umrah pada penghujung tahun ini demi memenuhi kehendak dan permintaan ibunya.
Pemilik nama Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 28, berkata, dia dan keluarga bakal bergerak ke Tanah Suci pada 5 hingga 16 Disember akan datang mengikut ketetapan yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Selain cuba untuk memenuhi hasrat ibunya, Abam turut meluahkan kesyukuran kerana diberi wang yang mencukupi dan tubuh badan yang sihat untuk menjalankan ibadah umrah itu.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan umrah, sekali gus menyempurnakan hasrat ibu saya sejak dulu lagi. Syukurlah kerana wang juga dirasakan sudah mencukupi manakala tubuh badan pula masih sihat untuk beribadat.
“Mengikut perancangan, saya sekeluarga bakal berangkat pada Disember nanti. Cuma, adik bongsu saja tidak turut serta kerana isterinya sedang sarat mengandung dan dijangka bersalin waktu itu.
“Pihak penganjur umrah pula menyuarakan hasrat meminta kerjasama saya untuk menguar-uarkan perkara ini kepada umum. Lebih meriah sekiranya ada antara peminat yang terbuka hati untuk turut serta dalam rombongan kami,” katanya kepada BH Online.
Dalam perkembangan lain, Abam menolak sebarang ‘peluang’ kerja yang datang kepadanya kerana ingin memberikan tumpuan kepada rancangan realiti komedi Super Spontan dan Kelab Komedi.
Jelas pemenang Pelawak Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014, dia memilih untuk menolak tawaran lain kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak kerana kepadatan jadualnya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: BH Online

