WASHINGTON DC – Warna meskipun dianggap cukup remeh, sebenarnya masih lagi menjadi salah satu pertimbangan utama bagi masyarakat ketika mahu membeli sesebuah kereta baharu.
Bahkan, tidak sedikit pembeli cerewet lebih rela menunggu agak lama atau mengeluarkan banyak caj tambahan, semata-mata demi mendapatkan warna kegemarannya atau ingin kelihatan berbeza daripada kereta lain.
Namun, dalam beberapa tahun terakhir, Pittsburgh Plate Glass Co (PPG) di Michigan, Amerika Syarikat (AS); salah satu firma pengecatan untuk industri automotif terbesar di dunia, mengeluarkan data cukup memeranjatkan!
Putih masih lagi menjadi pilihan pengguna kenderaan di mana-mana negara waima negara maju sendiri, menurut syarikat tersebut yang dipetik oleh portal berita pemotoran terkenal antarabangsa, Autonews.com, baru-baru ini.

Ini termasuk di rantau Amerika Utara yang cukup kompetitif meliputi pasaran AS, Kanada dan Mexico, sejak 2011 lagi, putih masih tergolong sebagai warna paling popular untuk majoriti kereta berbanding dengan warna lain.
Malah pada 2015, putih mendominasi sebanyak 23 peratus daripada keseluruhan kereta dengan warna yang dibeli oleh kebanyakan pengguna, diikuti hitam hanya 19 peratus, kemudian kelabu (17 peratus) dan perak (15 peratus).
Populariti putih di Amerika Utara juga mempengaruhi pasaran yang jauh lebih luas lagi. Untuk rantau Asia-Pasifik misalnya, putih menyumbang 44 peratus daripada kenderaan manakala posisi kedua ialah hitam cuma 16 peratus.
Termasuk di benua Eropah, putih cukup bersinar di tempat pertama, dengan penguasaan 31 peratus, mengalahkan hitam 18 peratus. Di Amerika Selatan pula agak unik apabila putih 36 peratus dan perak di posisi kedua 31 peratus.

“Seperti ramai pengguna di China, kalau putih ialah warna yang trending. Itu membuatkan kereta saiz kecil akan kelihatan macam besar dan tampak cukup bersih lebih lama,†ujar Jane Harrington, Pengurus Gaya Warna di PPG.
Ini menepis persepsi konon putih terpaksa dipilih kerana kereta warna itu lebih cepat diterima pembeli selain faktor cuaca yang secara saintifik, ia memantul haba menjadikan kereta agak dingin berbanding warna lain yang menyerap.
Namun tambah Harrington, jika melihat pilihan warna berdasarkan segmen kereta, bukan putih atau hitam yang menjadi pilihan. Misalnya dalam segmen kereta jenis sport, pilihan utama pembeli ialah lebih kepada merah.
Ini mungkin kerana warna merah dianggap mencerminkan kepantasan. Sementara warna pearl metallic, memiliki tempat bagi para peminat kereta kategori mewah dan sport utility vehicle (SUV). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA