KEGAGALAN mendapatkan pinjaman bank akibat nama disenarai hitam atau mempunyai komitmen yang tinggi membuatkan segelintir individu menggunakan alternatif meminjam daripada ‘along’ berlesen sebagai jalan keluar kemelut kewangan.
Biarpun mempunyai permit dan berdaftar, kebanyakkan syarikat-syarikat Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (PPWB) sering dikaitkan dengan kes penipuan pelanggan di mana kadaran bayaran balik serta caj tambahan yang dikenakan sering didakwa terlalu melampau.
Bercakap mengenainya, baru-baru ini tindakan sebuah syarikat PPWB di ibu negara yang menggunakan kadar faedah tidak masuk akal melebihi kadar faedah maksimum yang dibenarkan terhadap seorang peminjam mengundang padah apabila syarikat tersebut ‘diserang’ Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Menerusi rakaman audio yang berjaya dibongkarkan oleh pihak PPIM, Pengarah Unit Tindakan Khas, Yusuf Azmi mempersoal tindakan melampau syarikat tersebut yang diwakili oleh seorang lelaki Cina bernama Martin.
Mangsa dilaporkan telah dipaksa untuk membayar balik wang pinjamanya hampir 17 kali ganda daripada jumlah pinjaman yang dipohon iaitu sebanyak RM1,500, dan mangsa turut diugut akan ‘ditanam’ sekiranya tidak melunaskan pinjaman tersebut.
“Dia dah bayar RM14, 500, lepas tu you suruh lagi dia bayar sama you sebulan RM300 selama tiga tahun (36 bulan), so jumlah keseluruhan RM25,300.
“Pinjam RM1,500, dapat kat tangan RM1,050, you rasa Fair ini benda?” ujar Yusof yang berang mempersoalkan prosedur pengurusan syarikat itu yang mana tidak tumpah seperti ceti haram.
Yusuf turut membidas tindakan syarikat tersebut yang mengenakan kadar faedah melebihi kadar maksimum 18 peratus yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia untuk PPWB.
“Bank Negara benarkan kadar faedah (PPWB) di bawah KPKT (kini dikenali sebagai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) adalah (maksimum) 18 peratus.
“1.5 peratus (sebulan) sahaja syarikat dibenarkan mengambil kadar faedah,†ujarnya lagi kepada lelaki tersebut.
Syarikat itu juga difahamkan turut menipu mangsa apabila mendakwa perjanjian berhubung perkara tersebut telah dibuat, namun tidak diserahkan kepada peminjam kerana ia hanya untuk simpanan syarikat.
Sehingga kini video tersebut giat diperkongsikan netizen dan rata-ratanya mempersoalkan ketelusan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menyiasat perkara yang berada di bawah kelolaan kementerian tersebut. – MYNEWSHUB.CC