PENYANYI tersohor dari Indonesia, Datuk Rossa seseorang yang tidak boleh duduk diam rupa-rupanya. Berpegang pada prinsip bahawa jika ingin melakukan sesuatu, ia harus selesaikannya dengan sebaik mungkin.
Demikian kongsi penyanyi yang peramah dan suka ketawa itu kepada agensi berita Mediacorp Singapura baru-baru ini: “Saya kalau diam pun saya akan berfikir, saya mahu buat apa lagi. Itu membuat saya jadi produktif.â€
Mungkin sifat yang ditanamkan olehnya itu sejak menuntut dari universiti lagi, membakar semangatnya untuk menceburi bidang perniagaan.
“Papa dan mama saya pun berniaga. Jadi saya ikuti mereka. Dari universiti saya berniaga baju. Cari baju dan jual pada teman-teman kuliah.
“Ternyata berhasil. Saya nggak (tidak) pernah minta wang dari orang tua,†menurut pelantun suara yang sinonim dengan lagu-lagu hits seperti Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Hati Yang Kau Sakiti dan Hijrah Cinta itu.
Seawal tahun 2003 lagi Rossa memilih untuk melabur dalam bidang hartanah di Bali dan Jakarta. Ia membuahkan hasil kerana ia berjaya menjana pendapatan baginya apabila beliau “menjual beli hartanah dan turut menyewakannya jugaâ€.
Selain pelaburan hartanah, beliau juga adalah pemilik beberapa kelab karaoke di beberapa bandar di Indonesia.
“Kita kan masih muda. Lebih baik kita menggali potensi lain. Harus ada kedua-duanya iaitu nyanyian dan bisnis,†katanya kepada Mediacorp Singapura.
Maka, tidak menghairankan apabila Rossa sanggup turun padang ke Singapura sendiri untuk mempromosikan jenama minyak wanginya iaitu My Life, My Love, My Music serta koleksi kainnya sendiri yang dikenali sebagai “Kain_madeinindonesia†untuk acara CelebFest 2016 yang berlangsung di Suntec City antara 17 hingga 19 Jun lalu.
Lebih menggembirakan lagi ibu kepada anak lelaki yang bernama Rizky Langit Ramadan ialah sambutan terhadap minyak wangi jenama miliknya itu begitu laris sehingga 100 botol yang dibawanya habis dijual dalam masa setengah jam sahaja beliau berada di booth beliau.
“Bahagia. Alhamdulillah. Ternyata mereka semua senang dengan wangiannya. Ia tahan lama selama 6 hingga 8 jam. Ia tidak dirancang kerana di Indonesia belum dilancarkan. Rezeki,†kongsi Rossa.
Mengenai koleksi kainnya iaitu kain_madeinindonesia, Rossa sendiri yang membuat rekaan corak kain-kain tersebut bersama rakan kongsinya.
Bersikap pragmatik, penyanyi manis itu berpendapat bahawa sesiapa sahaja harus merancang kewangan mereka dari awal lagi.
“Kita tidak tahu kan rezeki kita ada di mana. Sebisa mungkin dicari,†kata beliau.
Menyanyi itu dilihat oleh orang sebagai sesuatu yang menyenangkan tetapi ia sesuatu yang memerlukan banyak tenaga, kesungguhan dan pengorbanan sebenarnya,†kongsinya sambal menambah, “Mungkin pada suatu hari nanti, saya mau duduk di rumah, goyang kaki, menghabiskan masa bersama anak.â€
Untuk sambutan Hari Raya, Rossa tahun ini akan pulang ke kampungnya di Sumedang, Jawa Barat untuk berlebaran selama 10 hari bersama ibu-bapa dan keluarga besarnya yang beliau jarang sekali dapat berjumpa disebabkan oleh kesibukan sebagai penyanyi.
Antara masakan Sunda kegemaran Rossa yang tetap menjadi pilihan utamanya sudah semestinya opor ayam, sambal terasi dan sambal goreng.
Namun beliau tidak menafikan sambutan Hari Rayanya kini berbeza jika dibandingkan dengan sambutan Hari Raya ketika beliau masih belum popular.
Ujarnya sambil tertawa riang: “Kalau dulu nggak (tidak) ada yang foto, sekarang foto terus. Salam foto, salam foto. Tapi nggak (tidak) apa-apa, mereka kan jarang berjumpa sama saya.â€
Rossa tidak membuat sebarang rumah terbuka di kampungnya kerana ingin menikmati sambutan Hari Raya bersama keluarga dan berkumpul dengan teman-teman lamanya yang sama membesar dengannya.
Meskipun baru melancarkan single terkini beliau berjudul Jangan Hilangkan Dia ciptaan Rian D Masiv, beliau akan terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi untuk rakaman lima buah lagu Inggeris dengan penerbit album bernama Mitch Allan.
Mitch pernah menerbitkan lagu-lagu untuk Miley Cyrus, Kelly Clarkson dan Pitbull sebelum ini. Apakah ini satu strategi untuknya menembusi pasaran AS nanti seperti Agnes Monica?
“Sebenarnya nggak (tidak). Untuk pasaran antarabangsa, kita harus berada di AS agak lama untuk promosi dan bermula semula dari bawah. Saya tidak rasa saya boleh lakukan itu. Saya cukup puas jika boleh mungkin berkolaborasi dengan pemuzik di sana,†terangnya dengan nada gembira.
Beliau dijangka berada di Los Angeles selama dua minggu lamanya.
Tambah Rossa lagi, beliau memilih untuk merakamkan lima buah lagu Inggeris kali ini memandangkan beliau sudahpun “melakukan semuanya di Indonesia†sebelum ini.
“Pencipta lagu yang bagus-bagus saya udah (sudah) pernah dapatkan. Dari Malaysia pun sudah. Saya inginkan sesuatu yang baru,†jelas penyanyi kecil molek itu.
Sempena Lebaran tahun ini, menerusi Mediacorp, Rossa mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Lahir Batin kepada semua peminatnya. – Mediacorp/Mynewshub.cc

