KUALA LUMPUR – Seorang pengutip hutang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang wanita warga Thailand.
R. Vandassan, 36, didakwa menculik Miss Wilasini, 35, ketika mangsa menunggu teman lelakinya di dalam sebuah kenderaan di Jalan Prima 3, Hotel Indigo, Metro Prima Kepong, di sini pada 4.45 petang, 12 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Faizal Ismail tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan menetapkan 9 Sept untuk sebutan semula.
Timbalan Pendakwa Raya, Zuraimi Kamarozzaman mewakili pihak pendakwaan manakala Vandassan tidak diwakili peguam. – BERNAMA

