KANGAR – MIC Perlis akan terus meningkatkan jumlah pemilih dalam kalangan kaum India yang kini merekodkan 2,090 pemilih berdaftar dan lebih 200 pemilih baharu didaftarkan baru-baru ini.
Pengerusinya, S. Vengadasamy berkata walaupun MIC Perlis tidak bertanding di Perlis, semangat anggotanya tetap kuat untuk sama-sama berjuang dengan anggota komponen Barisan Nasional (BN) bagi memastikan BN meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-14.
“Masyarakat keturunan India di Perlis menaruh penuh keyakinan kepada kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak berjasa dan menjaga kebajikan kami di negara ini.
“Apa jua hasutan yang memburukkan BN dan perdana menteri tidak akan mengubah pendirian kami,” katanya dan menambah lebih 2,000 daripada kira-kira 5,000 penduduk Perlis berketurunan India menjadi anggota MIC.
Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, Vengadasamy berkata MIC bahagian Arau telah selesai mengadakan mesyuarat perwakilannya pada 17 Julai lepas, bahagian Kangar pada 24 Julai manakala bahagian Padang Besar akan bermesyuarat pada 31 Julai ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perlis yang melantik seorang anggota MIC negeri ini menjadi pegawai khas Menteri Besar, seorang penolong pegawai khas dan dua orang dilantik anggota Majlis Perbandaran Kangar (MPK). – BERNAMA