KUALA LUMPUR – Jaringan ketua pasukan Ilija Spasojevic dan Yashir Pinto membolehkan Melaka United terus mengungguli carta Liga Perdana selepas menundukkan DRB Hicom FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.
Spasojevic menjaringkan gol pada minit ke-26 sebelum Pinto mengesahkan kemenangan pasukan dengan jaringan kedua pada minit ke-79.
Melaka United kini mendahului liga dengan 33 mata diekori rapat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang ketinggalan dua mata.
JDT II turut meraih kemenangan selesa 3-1 menentang tuan rumah, Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi jaringan minit pertama Paulo Rangel, Shafiq Shahruddin (m15) dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (m74).
Negeri Sembilan meraih gol tunggal hasil sepakan penalti Goran Jerkovic pada minit ke-38 selepas Norhafizzuan Jailani dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Muhamad Al Hafiz Hamzah.
Hujan lebat di Shah Alam menyaksikan perlawanan antara UiTM FC dan Sime Darby FC yang dijadualkan di Stadium UiTM, Shah Alam petang tadi, ditunda.
Menurut kenyataan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), tarikh baru perlawanan antara kedua-dua pasukan tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, PKNS FC turut menambah tiga mata untuk berada di tempat ketiga selepas membenam Sabah 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, menerusi jaringan Juan Manuel Cobelli pada minit keenam, Matias Nicholas Hadwa (m20) dan Gabril Miguel Geurra (m65).
Gol tunggal Sabah pula dihasilkan Maxsius Musa pada minit ke-27.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan tuan rumah, Pahang seri 0-0 ketika menerima kunjungan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Di Stadium Selayang, Kuala Lumpur menewaskan Perlis 4-3 menerusi jaringan Jonathan Cantillana pada minit ke-14, diikuti Hafiz Johar (m37) Helmi Remeli (m62) dan pemain import, Leo Carioca (m89).
Tiga gol Perlis pula dijaringkan Famirul Ashraf pada minit ke-38, Park Yong-jun (m47) dan Afif Amiruddin (m56). – BERNAMA