KEMENTERIAN Pendidikan akan menunggu laporan lengkap berhubung kejadian seorang ustazah dikatakan menampar pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Gajah, Kelantan, pada Selasa.
Timbalan Menteri, Datuk P. Kamalanathan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan selepas menerima laporan berkenaan dalam masa terdekat.
“Setiap laporan yang diterima akan diselesaikan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau polis (jika perlu) dengan kadar segera,” kata beliau yang dipetik daripada agensi berita Bernama.
Kamalanathan turut mengingatkan setiap guru perlu sentiasa mengawal emosi ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Ada kaedah sesuai bagi memperbetul tingkah laku pelajar dan tindakan mencederakan mereka tidak harus berlaku sama sekali,” katanya.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Siti Nursyahida Zulkifli, 15, mendakwa ditampar di belakang kepalanya sebanyak tiga kali oleh seorang ustazah ketika perhimpunan sekolah selepas menafikan mencukur keningnya.
Akibat kejadian itu, anak sulung daripada empat beradik itu dibawa di Hospital Tanah Merah (HTM) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini rawatan lanjut selepas mengalami masalah saraf.
Ibu pelajar itu, Zakirah Zahari, 35, berkata dia difahamkan, anaknya ditampar di depan perhimpunan sekolah selepas menafikan mencukur keningnya. – MYNEWSHUB.CC