PORT DICKSON – Seorang juruteknik IT Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur maut apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di KM19.5 Jalan Lukut-Sepang, dekat sini hari ini.
Pegawai Turus Trafik Negeri, ASP Mohd Hafidzal Zainal Abidin berkata dalam kemalangan pukul 11.55 pagi itu, Muhammad Hafiz Izreen Izani, 27, maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Sepang gagal memotong sebuah lori tanker di garisan berkembar di selekoh jalan.
“Akibatnya, motosikal yang ditunggangi mangsa bertembung pula dengan sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan,” katanya menerusi kenyataan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat. – BERNAMA