SINGAPURA – Sebahagian daripada sebuah unit flat lima bilik di Blok 750, Pasir Ris Street 71, di sini hangus dijilat api petang 8 Julai kerana dipercayai disebabkan oleh bateri e-basikal yang terlampau panas.
Pemilik rumah tersebut, Andy Nini, 44 tahun, memberitahu agensi berita Mediacorp bahawa anak lelaki dan dua anak perempuannya sempat berjaya keluar dari flat tersebut bersama-sama dengan pembantu rumah keluarganya.
Dia menerima panggilan bahawa flat didiami ahli keluarganya terbakar sekitar jam 7 malam (sama waktu dengan Malaysia) sebelum memberitahu ibu, kakak dan jiran untuk datang membantu serta menjaga anak-anaknya.
Isteri Andy iaitu dikenali sebagai Nancy, seorang juruteknik radiografi di Singapura, secara kebetulan tidak berada pula di rumah mereka itu semasa insiden aneh tersebut berlaku, menurut stesen tempatan Channel NewsAsia.
Lelaki tersebut yang bertugas sebagai pengecat pesawat berkata bahawa, dia meninggalkan e-basikalnya dekat tingkap rumah untuk mengecas kenderaan dua roda itu pada sekitar 3 petang semalam sebelum pergi bekerja.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku pada bateri itu. Tiba-tiba, e-basikal tersebut dikatakan meletup dengan kuat,” katanya sambil menambah biasanya bateri berkenaan memerlukan sekitar lima jam untuk dicas sepenuhnya.

Andy seterusnya berkata dia baharu sahaja membeli e-basikal jenis yang terpakai itu sekitar empat hingga lima bulan lalu dan mendakwa tidak pernah membuat sebarang pengubahsuaian pada kenderaan beroda dua tersebut.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada 6.30 petang dan empat penghuni sudah pun meninggalkan flat dengan selamat apabila SCDF tiba di tempat kejadian.
Pasukan tersebut turut mengerahkan sebuah jentera bomba, dua kenderaan kecemasan Red Rhino, dua motosikal bomba dan sebuah ambulans ke lokasi kejadian. Kebakaran itu dipadamkan dengan menggunakan dua jet air.
Apabila Mediacorp ke tempat kejadian, serpihan kaca didapati bertaburan di sekitar bawah blok dan tingkap flat di tingkat empat itu turut berkecai sebagai menggambarkan betapa kuatnya letupan dahsyat daripada e-basikal itu.
Andy berkata, selain ruang tamu yang hangus terbakar, sebahagian daripada dapur dan ruang makan unit flatnya juga musnah. Namun, dia bersyukur bahawa kesemua anggota keluarganya selamat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

