AKTRES dan pengacara tinggi lampai, Dynas Mokhtar menyerahkan segalanya kepada jodoh berkaitan hubungannya dengan seorang pemuda bernama Shazrin.
“Kahwin? Belum ada perancangan lagi, Insya-Allah jika ada jodoh kami pasti berkahwin tambahan pula anak-anak mula selesa dengannya.
“Tetapi kami serahkan perkara itu kepada jodoh dan setakat ini hubungan kami baik-baik sahaja,” katanya.

Menurut sebuah portal, pemilik nama Wan Edrinas Wan Mokhtar, 33, berkata status perhubungannya dengan dengan pemuda itu diterima baik oleh putera dan puterinya iaitu Khyra Khalyssa, 6; dan Mohamed Haqaish, 4 tahun.
Jelas Dynas lagi, dia dan Shazrin sudah berkenalan sejak di bangku sekolah lagi, namun mereka dipertemukan semula setelah dia (Dynas) bercerai dengan suaminya.
Tambah Dynas lagi, dia selesa berkawan dengan Shazrin kerana sifatnya yang romantik dan baik hati.
“Kami sudah kenal lama dan itu membuatkan saya mudah menerimanya tetapi buat masa ini kami masih mengenali hati budi masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, Dynas pernah berkahwin dengan Mohd. Hafizi Mohamed pada 15 Mac 2008 sebelum mereka bercerai pada 25 Februari 2014 di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut pelakon yang pernah memenangi Anugerah Bintang Popular Bintang Harian (ABPBH) menerusi pencalonan ‘pelakon TV Wanita Popular’, seperti kebiasaan lebaran disambut secara sederhana dan dia banyak meluangkan masa bersama keluarga serta menziarahi saudara-mara.
“Seperti tahun sebelum ini kami sekeluarga sambut secara sederhana dengan mementingkan masa bersama keluarga dan menziarah saudara mara dan sahabat,” jelasnya.
Selain itu, pada hari lebaran jugalah dia dan rakan-rakan yang lain berpeluang untuk merasai hidangan istimewa air tangan ibunya iaitu ayam golek yang merupakan antara juadah raya kegemarannya.
“Setiap kali Hari Raya hidangan wajib yang kena ada adalah ayam golek dan rakan-rakan yang datang ke rumah pun memang akan minta hidangan berkenaan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

