KUALA LUMPUR – DAP mengkritik pihak polis kerana gagal menghalang ratusan peserta baju merah daripada mengadakan perhimpunan di hadapan Ibu Pejabat DAP di sini bagi membantah kenyataan pemimpinnya, Nga Kor Ming yang menghina Islam.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kononnya perhimpunan jalanan seperti itu tidak bertanggungjawab dan bersifat ekstrimis untuk menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat.
“Saya tidak mahu menyentuh mengapa polis membenarkan pihak pelampau dalam masyarakat kita (baju merah) mengadakan perhimpunan untuk melakukan provokasi.
“Adalah perlu untuk mengetahui pelampau dan fanatik tidak dibenarkan untuk mengelirukan orang lain melakukan tindakan yang tidak masuk akal,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan Kit Siang itu secara tidak langsung menunjukkan sikap hipokrit pemimpin Pakatan Harapan yang selama ini melaungkan hak setiap rakyat untuk berhimpun dan melakukan demontrasi jalanan di negara ini.
Malah, pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan paling kerap mengadakan perhimpunan haram tanpa mendapatkan keizinan pihak berkuasa bagi melakukan provokasi jalanan yang bertujuan memburuk-burukkan kerajaan.
Terbaru, Pakatan Harapan dengan kerjasama pertubuhan anti-kerajaan termasuk Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) mengadakan perhimpunan di tengah-tengah ibu kota sewaktu malam sambutan Hari Kemerdekaan pada Ogos tahun lalu dalam usaha menjatuhkan kerajaan namun gagal.
Penyokong Pakatan Harapan dalam perhimpunan itu turut mengadakan upacara memijak-mijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden serta ulama PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan keakraban yang semakin terjalin diantara kedua-dua parti terbesar Melayu tersebut. – MYNEWSHUB.CC

