SEKALUNG tahniah diucapkan kepada pasangan selebriti tanah air iaitu Azwan Kombos dan juga Ezzaty Abdullah kerana telah selamat diijabkabulkan padi tadi.
Dengan sekali lafaz Azwan sah bergelar suami kepada Ezzaty dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Bentong, Pahang.
Pasangan merpati dua sejoli ini dinikahkan oleh bapa Ezzaty sendiri iaitu Abdullah Mat Isa dan disaksikan oleh jurunikah daerah Bentong, Mohd Rasmawi Harun.
Dalam majlis penuh kegembiraan itu, Azwan yang popular dengan drama bersiri Mok Cun telah menyerahkan mas kahwin berjumlah RM22.50 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang oleh pihak pengantin perempuan manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran keluarga kedua-dua pihak dan rakan terdekat pasangan.
Azwan dan Ezzaty tampak berseri dengan persalinan berwarna putih sentuhan magis daripada pereka muda Ariefshah.
Bagi majlis resepsi sebelah pihak lelaki pula akan berlangsung esoknya iaitu 17 Julai 2016, di Dewan Melor, Bandar Baru Bangi, Selangor. – MYNEWSHUB.CC