BEIRUT – Agensi berita rasmi milik kumpulan militan Daesh, Amaq langsung tidak membuat sebarang laporan berkaitan tragedi serangan berdarah di Nice, Perancis yang meragut 84 nyawa lewat Khamis.
Ketiadaan laporan Amaq yang menjadi rujukan utama pelbagai agensi berita antarabangsa mencetuskan persoalan misteri kemungkinan besar Daesh bukan dalang sebenar insiden sempena Hari Bastile di negara Eropah itu.
Amaq yang dinamakan sempena sebuah bandar purba legenda di Syria ditubuhkan sejak akhir 2014 memaparkan berita perkembangan Daesh kebanyakannya dilaporkan dalam bahasa Arab selain Inggeris, Perancis dan Rusia.
Lazimnya sebarang berita melibatkan letupan bom bunuh diri oleh anggota militan Daesh di seluruh dunia segera disiarkan menerusi Amaq dengan pengesahan secara rasmi daripada pemimpin tertinggi kumpulan pengganas itu.
Ini termasuk insiden pembunuhan terburuk di San Bernadino, California, Amerika Syarikat di samping serangan beradah di Dhaka, Bangladesh; Jakarta, Indonesia; Istanbul, Turki dan paling baharu, Puchong, Malaysia.
Berita itu kemudian disiarkan semula oleh pelbagai penerbitan pro-Daesh di seluruh dunia termasuk Al Fatihin, iaitu buletin edisi bahasa Melayu untuk pembaca di Asia tenggara sebelum dipetik pelbagai agensi berita lain.
Bagaimanapun, Amaq tidak pernah menyiarkan visual aktiviti keganasan anggota Daesh seperti memancung kepala tebusan, sebagai strategi untuk menarik minat generasi muda menyertai jihad kumpulan itu dan mati syahid.
Dalam pada itu, ketiadaan sebarang kenyataan berhubung serangan rempuhan trak di Nice oleh Amaq menarik perhatian ramai netizen di rantau Asia Barat yang mengesyaki insiden tersebut tiada kaitan pun dengan Daesh.
Perkembangan menarik ini jauh berbeza dengan andaian oleh pendakwa raya anti-pengganasan Perancis, Francois Molins apabila segera menyifatkan pembunuhan itu sebagai ‘benar-benar sama’ dengan ideologi kumpulan Daesh.
Lewat Khamis, seorang penduduk Nice warga Tunisia, Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, 31; memandu sebuah trak dan merempuh laju orang ramai yang berhimpun di bandar raya tersebut setelah selesai satu pertunjukan bunga api.
Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls berkata, penyerang mungkin ‘sudah jadi radikal’ walhal Menteri Ehwal Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve memberi amaran bahawa masih terlalu awal mengesahkan kaitan itu.
Daesh yang menakluki sebahagian besar wilayah Syria dan Iraq sejak 2014, sebelum ini mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan maut nekad di Perancis, Belgium, Amerika Syarikat dan negara-negara Arab lain.
Meskipun Daesh tidak bersuara berhubung serangan berdarah di Nice, pengikut kumpulan tegar itu menyokong serangan tersebut dengan meluahkan kegembiran menerusi rangkaian media sosial. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA