KUALA LUMPUR – AirAsia sudah membuat tempahan bagi sejumlah 200 enjin tambahan CFM LEAP-1A bernilai US$2.7 bilion (RM10.73 bilion) mengikut senarai harga, bagi kegunaan 100 pesawat baharu jenis Airbus A321neo.
Ini akan meningkatkan jumlah enjin LEAP sedia ada kepada kira-kira 730 unit.
“Tempahan itu adalah untuk (pesawat) A321neo yang lebih besar dan menjadi elemen penting dalam pelan strategi pertumbuhan dan pengembangan jangka panjang syarikat ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan, hari ini.
Perjanjian melibatkan tempahan enjin itu dimeterai CEO Thai AirAsia, Tassapon Bijleveld yang mewakili Fernandes dan Presiden serta CEO CFM International, Jean-Paul Ebanga di London.
Fernandes turut menyifatkan pemilihan enjin berkenaan bagi kegunaan pesawat terbabit sebagai tepat serta penting bagi kejayaan strategi syarikat itu.
“Enjin LEAP-1A adalah pilihan sewajarnya kerana ciri-cirinya yang cekap bahan api sebanyak 15 peratus dan kami sendiri sudah biasa dengan produk CFM serta impaknya terhadap operasi kami,” katanya.
Syarikat peneraju penerbangan tambang rendah itu merupakan pelanggan CFM sejak lebih sedekad lepas.
Malah, AirAsia adalah pelanggan awal LEAP dan membuat pesanan awal sebanyak 400 enjin LEAP-1A, yang terbanyak dalam sejarah penerbangan pada masa itu, bagi kegunaan pesawat jenis A320neo pada June 2011.
Ini disusuli tempahan susulan sebanyak 128 enjin tambahan pada 2013.
Sejajar kedudukannya sebagai pengendali tunggal terbesar Airbus A320 di rantau Asia Pasifik, AirAsia mengendalikan sebanyak 170 pesawat Airbus A320 yang dipacu enjin CFM dan akan menerima 304 lagi pesawat itu. – BERNAMA

