PELAKON dan penyanyi pop Selena Gomez berpeluang bertemu dengan bintang Internet Audrey Nethery sebelum persembahannya di Louisville, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Nethery, penghidap penyakit Diamond Blackfan Anemia (DBA) berusia 7 tahun terkenal di media sosial dengan video Zumbanya sebagai usaha bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu yang jarang-jarang berlaku.

“Akhirnya dapat juga berjumpa dengan si comel ini,” tulis Gomez dalam posting di Instagramnya.
Turut dimuatnaik oleh Gomez, klip video dirinya menari dengan Nethery berlatar belakangkan lagu kegemaran kanak-kanak tersebut, Love You Like A Love Song.
Beberapa bulan lalu Gomez pernah meninggalkan komen di laman Instagram Nethery, ‘Audrey, awak seorang penghibur yang menakjubkan! Hubungi saya jika anda memerlukan pasangan duet’.
Video Gomez menari dengan Nethery di laman Instagram Gomez kini menjadi viral apabila ia menerima tontonan lebih 8.5 juta kali. – MYNEWSHUB.CC