UMUM mengetahui, harimau bintang atau leopard merupakan antara haiwan paling berbahaya dan digeruni manusia.
Namun, pernahkah anda bayangkan sekiranya haiwan buas ini berada di depan mata anda tanpa sebarang pengawasan waima pagar mengelilinginya.
Itulah yang berlaku kepada seorang pejalan kaki yang terkejut apabila menyaksikan seorang lelaki sedang membawa seekor harimau bintang bersiar-siar, tidak ubah seperti membawa anjing.
Berasakan ianya sesuatu yang luar biasa, Alex Treshchev segera merakam video kejadian yang berlaku di bandar Pskov, Rusia seterusnya memuat naik rakamannya di laman YouTube.
Hasilnya video itu menjadi viral sejak Isnin dan hajat utama Treshchev merakam dan berkongsikan video tersebut agar ceritanya dipercayai orang tercapai.
Bagaimanapun, segala persoalan Treshchev tentang lelaki yang membawa harimau bintang bersiar-siar itu terungkai akhirnya apabila seorang jurulatih haiwan buas bernama Jerry menjelaskan, haiwan ganas itu berada di bandar berkenaan bagi menyempurnakan satu sesi fotografi bertemakan ‘alam liar bersama seorang moden’. – MYNEWSHUB.CC