PEKAN – Jabatan Perikanan memberi jaminan udang yang diternak oleh 1,200 pengusaha udang di negara ini bebas daripada kandungan antibiotik terlarang.
Ketua Pengarahnya Datuk Ismail Abu Hassan berkata ini kerana jabatan itu sentiasa membuat analisis dan pemantauan antibiotik terhadap operasi penternakan udang di semua ladang ternakan berkenaan di seluruh negara.
“Sejak 2008 lagi sebanyak 2,466 sampel diambil dari ladang ternakan udang di seluruh negara untuk dianalisis dan sepanjang pemantauan dilakukan tidak ada seekor pun udang yang diternak itu mengandungi bahan antibiotik terlarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek ternakan dan kilang pemprosesan udang laut Syarikat LKPP Corporation Sdn Bhd di sini. – BERNAMA