KEWUJUDAN bonggol berkembar ‘maut’ berdekatan dengan Persiaran Puchong Perdana, dekat Kompleks Puchong Perdana di sini ternyata meresahkan pengguna jalan raya yang menggunalan laluan berkenaan setiap hari.
Difahamkan, pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal sering mengalami kemalangan ekoran permukaan bonggol berkembar tersebut yang tidak jelas ketika di waktu malam.
Masalah bonggol berkenaan semakin menjadi isu apabila rakaman video viral memaparkan seorang pemuda yang meraung kesakitan setelah motosikalnya terpelanting di jalan itu turut mendapat reaksi pelbagai pihak.
Berdasarkan pemerhatian Mynewshub, bonggol yang dikatakan itu terletak di jalan Persiaran Puchong Perdana menuju ke Puchong Permai.


Bonggol berkembar itu bagaimanapun difahamkan sedang giat melalui proses membaik pulih daripada pihak pemaju ekoran mendapat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan sikap tidak ambil endah mereka.
Seorang penduduk, Mohd Aswat, 30, berkata bonggol berkenaan berada selepas daripada bulatan jalan dan pengguna jalan raya tidak dapat melihatnya dengan jelas akibat ketiadaan lampu jalan.

Menurutnya, memburukkan lagi keadaan tiada sebarang cat atau papan tanda yang diletakkan di atas jalan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memberitahu orang ramai bahwa terdapat bonggol di situ.
Manakala penduduk setempat, Syed Samsuri, 47, memberitahu bonggol berkenaan yang telah siap dibina lebih kurang tiga minggu lepas menyebabkan beberapa siri kemalangan membabitkan pengguna motosikal.

“Khamis lepas, penduduk di flat di sini berpakat turun ke lokasi bonggol berkenaan hanya untuk memastikan pengguna jalan raya yang melalui jalan itu tidak memandu laju.
“Pada hari itu saja, lebih kurang 13 kemalangan berlaku pada waktu malam membabitkan penunggang motosikal yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.
“Kami cuba membuat sendiri jalur kuning bagi memberitahu kewujudan bonggol itu kepada pengguna jalan,” katanya.
Menurut Samsuri juga, pihak pemaju seakan begitu lambat mengambil tindakan biarpun bilangan kemalangan yang terbabit di jalan itu telah melonjak sehingga ke 15.
Beliau bagaimanapun menambah, bonggol berkenaan memang diperlukan tetapi ia perlu selamat kepada semua pengguna.
Chung Siew Khin, 50, pula memberitahu dalam kejadian yang membabitkan 13 pengguna jalan raya itu, rata-rata mereka langsung tidak menyedari kewujudan bonggol berkenaan dan cuba membantu setakat mana yang boleh.

“Bonggol itu ramai orang tak nampak, lebih-lebih lagi pada waktu malam disebabkan lampu-lampu jalan di situ tidak berfungsi.
“Kami ramai-ramai turun ke lokasi dan cuba menjerit kepada pengguna motosikal agar memperlahankan kelajuan mereka, namun tidak semuanya perasaan dengan tindakan kami,” katanya.
Rata-rata penduduk yang ditemui mengatakan ia bukanlah kali pertama kemalangan jalan raya berlaku disebabkan bonggol tersebut namun pada hari itu, terlalu banyak kemalangan terjadi dan adalah amat malang sekiranya ia dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan dilakukan.
Diharap pihak berkuasa tempatan yang berkenaan dan wakil rakyat kawasan itu turun padang bagi memastikan permasalahan itu segera diperbetulkan sebelum ada nyawa yang melayang. – MYNEWSHUB.CC

