SUNGAI BESAR – Rakyat Sungai Besar akan ‘rugi’ sekiranya kemenangan kerusi Parlimen kawasan itu diberikan kepada pihak pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 18 Jun ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana jika BN terus menyandang kerusi Parlimen itu, suara dan keluhan rakyat dijamin akan terus dibawa ke peringkat nasional bagi disalurkan bantuan sewajarnya.
Beliau berkata pengundi di kawasan itu perlu tahu bahawa tidak akan berlaku sebarang perubahan pada pentadbiran negara sekiranya pembangkang menang pada PRK berkenaan.
“Saya harap pengundi di sini akan faham, jika mahu memilih wakil rakyat, pilihlah individu yang mampu membawa suara rakyat untuk didengari ke peringkat yang lebih tinggi kerana ini bukan kerusi Dun.
“Saya juga percaya dan yakin, jika pengundi Sungai Besar memenangkan BN, projek projek pembangunan yang dirancang pada peringkat pusat boleh terus dilaksanakan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ditemui pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Sungai Limau, di sini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan peranan anggota JKKKP tidak terhad kepada pentadbiran kampung semata-mata namun perlu menjadi benteng paling hadapan membantu kerajaan memberi kefahaman kepada rakyat berkaitan isu semasa.
“Pada musim pilihan raya seperti ini, JKKKP yang lebih mengenali rakyat setempat harus bijak memainkan peranan dengan mengajak mana-mana individu yang dikesan sebagai pengundi berdaftar, supaya keluar mengundi,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran Umno Bahagian Sungai Besar yang menjangkakan 5,200 undi majoriti mampu dicapai pada PRK kali ini, Ismail Sabri berkata ia boleh menjadi kenyataan sekiranya semua jentera BN berusaha keras mendapatkannya.
Katanya, strategi dan gerak kerja pasti telah diatur dengan baik dan teliti oleh Umno Selangor dan proses pelaksanaannya sedang giat dilakukan kini, berikutan 11 hari lagi tempoh berkempen akan tamat.
Terdahulu, Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dalam ucapannya menyatakan sasaran 5,200 undi majoriti tersebut perlu dicapai bagi membuktikan kekukuhan BN di kawasan berkenaan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebelum ini, BN mengekalkan kedudukan di kerusi Parlimen tersebut selama tiga penggal berturut-turut menerusi kemenangan yang diraih penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon dengan majoriti 399 undi.
Bagaimanapun, pada 5 Mei lepas, Noriah maut dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak menyebabkan kekosongan kerusi berkenaan.
PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan penamaan calon dilakukan pada Ahad lepas dan pengundian awal pada 14 Jun. – BERNAMA