KUALA KANGSAR – Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar ditutup 10 pagi ini.
Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding selepas semakan dilakukan.
Seramai empat calon dilihat mengemukakan borang permohonan mereka.
Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid yang masih dalam edah, diwakili Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Perak, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin.
Pencadang calon BN itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong Mohamad Kamil Shafie dan disokong ADUN Bukit Chandan Mohamad Kamil Razman.
Calon PAS Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary turut dilihat mengemukakan borang pencalonan.
Sementara itu Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi ketika ditemui pemberita berkata proses penamaan calon itu berjalan lancar.
“Seramai 1,000 pegawai dan anggota keselamatan bertugas di kawasan penamaan calon ini,” katanya.
Kira-kira 6,000 penyokong parti-parti yang bertanding, berkumpul di kawasan penamaan calon itu sejak 7 pagi tadi, katanya.- BERNAMA