SUNGAI BESAR – Peti-peti undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Seri Bernam di sini sejak 5.45 petang tadi.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata peti undi dari 28 pusat daerah mengundi (PDM) itu akan menjalani proses pengiraan di dewan berkenaan termasuk dua peti undian awal.
“Proses pengiraan undi akan berlangsung tanpa henti walaupun pada waktu berbuka puasa.
“Petugas akan bergilir-gilir berbuka puasa dan tidak ada peti undi yang dibiarkan tanpa pengawasan,” katanya.
Sebanyak 42,365 pengundi biasa mengundi hari ini selepas 265 orang atau 92.6 peratus daripada 286 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada Selasa lepas.
PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi, Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur (Amanah).
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Dalam pada itu, petugas media yang membuat liputan turut diberikan juadah berbuka puasa di dewan berkenaan. – BERNAMA