SUNGAI BESAR – Sebanyak 28 pusat mengundi dengan 90 saluran untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 42,365 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Cuaca pagi ini mendung dan berdasar pemantauan di beberapa pusat daerah mengundi (PDM), orang ramai sudah mula membanjiri pusat-pusat mengundi (PDM) yang dibuka.
Warga emas, Mohamed Chat, 64, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Parit Empat di sini menjadi pengundi pertama yang menunaikan tanggungjawab itu pagi ini.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata kesemua pusat mengundi di 24 buah sekolah, dewan orang ramai (satu) dan balai raya (tiga) akan ditutup pada 5 petang.
Pada Selasa lepas (14 Jun) sebanyak 265 orang atau 92.6 peratus daripada 286 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di sini.
Pengiraan undi bermula sebaik pusat pengundian ditutup dan penjumlahan akan dilakukan di Dewan Seri Bernam, di sini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi pada PRK itu sebanyak 75 peratus berbanding 88.30 peratus pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Beliau juga berkata keputusan pengundian bagi kerusi Parlimen itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya pukul 9 malam ini.
PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi, calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
PRK Parlimen Sungai Besar dijalankan serentak dengan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dalam nahas yang sama.
Pada PRU13, Allahyarham Noriah menang dengan majoriti 399 undi, mengalahkan calon PAS Mohamed Salleh M.Hussin. – BERNAMA