KUALA KANGSAR – Pengundi luar kawasan yang tidak pulang mengundi dilihat punca peratusan pengundian tidak mencapai sasaran pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
Katanya jumlah peratusan pengundian di PRK Parlimen Kuala Kangsar hanya mencatatkan 71 peratus berbanding sasaran SPR sebanyak 75 peratus.
“(Selain itu) kemungkinan terdapat fahaman (bahawa keputusan)) menang kalah (dalam PRK itu) tidak membawa perubahan kepada kedudukan kerusi di Parlimen,” katanya kepada pemberita ketika meninjau Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Jubli Kuala Kangsar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan suasana PRK ini sebagai pilihan raya paling tenang dan terkawal berikutan penyokong parti yang bertanding tidak melakukan sebarang tindakan atau kelakuan yang boleh mengganggu kelancaran proses pengundian.
PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Sungai Besar, Selangor berikutan kematian Anggota Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Datin Mastura Mohd Yazid iaitu balu Wan Mohammad Khair-il Anuar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas). – BERNAMA