KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta ahli dan penyokong parti itu tidak kecewa dengan kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun lalu.
Kata beliau, ahli dan penyokong PAS sebaliknya perlu terus beristiqamah bersama Islam yang ditegaskan menjadi aqidah perjuangan, dasar dan matlamat parti itu.
“Apa yang terpenting bagi pendukung PAS ialah bahawa mereka mewarisi perjuangan ini dan terus beristiqamah.
“Keputusan Sungai Besar dan Kuala Kangsar jangan sekali-kali mengecewakan ahli PAS walaupun mereka dikecewakan oleh majoriti pengundi yang tidak memberi kemenangan kepada PAS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar menyaksikan sebahagian penyokong PAS memberi undi mereka kepada calon Parti Amanah Negara (PAN) yang mewakili Pakatan Harapan.
PAN ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang taksub kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PAS disingkirkan oleh DAP daripada gabungan parti pembangkang. – MYNEWSHUB.CC

