KUMPULAN militan Daesh kini semakin miskin hinggakan mereka terpaksa membuat wang dengan mengenakan denda kepada penduduknya walaupun bagi jenayah yang tidak masuk akal termasuk tidak menutup pintu dan gagal ujian undang-undang syariah.
Keadaan itu disebabkan penduduk yang menetap di kawasan yang dikawal oleh Daesh di Syria dan Iraq semakin berkurangan iaitu daripada sembilan juta orang tahun lepas kepada enam juta penduduk sahaja tahun ini.
Menurut kumpulan pemikir global IHS, antara cukai atau hukuman yang dikenakan kepada penduduknya adalah kesalahan kecil termasuk denda AS$100 jika tidak menutup pintu.
Manakala kaum wanita yang memakai jubah terlalu ketat boleh didenda AS$25, meninggal rumah tanpa memakai stokin (AS$30) dan mana-mana perempuan yang mendedahkan mata mereka akan diminta membayar denda sebanyak AS$10.
Baca: Bank Milik Daesh Dibom AS, Gaji Dipotong 50%
Satu lagi hukuman adalah denda terhadap kesalahan pelik antaranya meletakkan loceng di leher kambing iaitu sebanyak AS$10.
Sementara penduduk yang pernah bekerja dengan kerajaan Syria dan Iraq perlu membeli sijil `taubat’ yang berharga antara AS$200 dan AS$2,500.
“Cukai yang dikutip Daesh memberikan pendapatan 50 peratus kepada kumpulan berkenaan setiap bulan namun pendapatan terbabit telah berkurang kepada 23 peratus disebabkan Daesh gagal mengekalkan wilayah kekuasaannya,” kata penganalisis kanan IHS, Ludovico Carlino.
Laporan itu dikeluarkan selepas tentera Iraq melancarkan serangan untuk menawan semula bandar Fallujah dari IS. – Mynewshub.cc