PEKAN – Dua beradik yang dilaporkan hilang Jumaat lepas ditemui mati lemas di dalam sebuah lubang yang dipenuhi air di kawasan pembinaan Dewan Semai Bakti, Chini 5 dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek berkata mayat Muhamad Sharul Nizam Malik, 9, dan adiknya Muhammad Hasni, 6, ditemui tertiarap di dalam lubang cerucuk itu kira-kira 200 meter dari rumah mereka pada pukul 6.30 petang.
“Mayat dua beradik itu ditemui 24 jam selepas dilaporkan hilang dari rumah mereka pada jam 6 petang Jumaat lalu,” katanya hari ini.
Beliau berkata gerakan mencari dan menyelamat dilakukan oleh sepasukan anggota polis dibantu anggota RELA, keluarga mangsa dan penduduk kampung setelah mendapat maklumat lisan daripada bapa mangsa.
Bagaimanapun setelah kedua-dua mangsa masih gagal ditemui, bapa mangsa Malik Razuan Ali, 50, telah membuat laporan polis di Balai Polis Chini pada jam 6 petang semalam.
“Hampir setengah jam selepas itu, mayat kedua-dua mangsa kemudian berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal dan bukti di tempat kejadian, polis percaya kedua mangsa mati akibat lemas, bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Chini 5 pukul 2 pagi tadi selepas urusan bedah siasat dilakukan di Hospital Daerah Pekan. – BERNAMA

