SUNGAI BESAR – “Saya teringin hendak makan sambal tumis ikan sardin ketika berbuka,” luah Budiman Mohd Zohdi, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Beliau yang ditemui Bernama semasa meluangkan masa melawat bazar Ramadan di Pekan Sekinchan, mengakui kesibukan berkempen menyebabkan beliau masih belum berkesempatan berbuka puasa bersama keluarganya, apatah lagi menjamah lauk kegemarannya itu walaupun Ramadan telah masuk hari kelapan semalam.
Sememangnya, sejak tempoh berkempen bermula selepas penamaan calon pada 5 Jun lepas, berdasarkan jadual kempen Budiman yang diterima media, calon BN itu setiap hari akan memenuhi pelbagai program pada sebelah siang, diikuti program iftar, tarawih dan moreh bersama penduduk sekitar Parlimen Sungai Besar. – BERNAMA