SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikejarkan ke hospital dalam keadaan melecur teruk selepas terjatuh dari dakapan bapanya ke dalam arang yang marak terbakar, semasa melakukan satu acara ritual bagi penganut agama Hindu di Jalandhar, India baru-baru ini.
Kanak-kanak tersebut dikatakan terjatuh apabila bapanya yang dikenali sebagai Kartik, secara tidak sengaja hilang keseimbangan badan ketika sedang ‘meniti’ api.
Kartik dan anaknya segera dibantu mereka yang berada di tempat kejadian dan dikejarkan ke hospital.
Bagaimanapun terdapat ahli keluarga Kartik yang dikatakan enggan membawa dua beranak itu ke hospital kerana percaya Tuhan akan menyembuhkan mereka nanti.
“Kanak-kanak itu melecur teruk di pergelangan kaki, tangan serta bahagian perut.
“Bapanya pula melecur 15 peratus dan saya rasa kecederaan mereka ini akan ambil masa lima ke tujuh hari untuk baik,” kata Doktor Jangpreet Singh yang merawat mereka.
Seramai 600 penganut agama Hindu berkumpul di Jalandhar untuk meraikan festival memuja Dewa Maa Maarimma, baru-baru ini.
Dalam upacara yang dilakukan penganut Hindu sejak berkurun lamanya itu, mereka yang terlibat akan berpuasa selama tujuh hari sebelum berjalan merentasi bahang api.
Kes yang menimpa dua beranak ini bagaimana pun bukan kali pertama dicatatkan, sebaliknya tiga tahun lalu insiden sama turut berlaku melibatkan seorang ibu dan anak perempuannya. – MYNEWSHUB.CC