JEMPOL – Seorang lelaki meninggal dunia selepas selesai mengurut kaki di sebuah pusat urut kaki refleksologi di Bahau, di sini, kelmarin.
Mangsa Thum Lai Yap, 55, menghembuskan nafas terakhir ketika sedang berehat di salah sebuah bilik pusat urut berkenaan, kira-kira jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati si mati yang juga pelanggan tetap kedai urut berkenaan datang seorang diri untuk mengurut kaki, kira-kira jam 11.30 pagi.
“Menurut tukang urut di kedai berkenaan, semasa sesi mengurut kaki dijalankan, lelaki itu kelihatan seperti biasa dan ada berbual dengannya.
“Selepas kakinya diurut kira-kira 50 minit, dia kemudiannya meminta untuk berehat sebentar di bilik itu, sebelum pulang,” katanya.
Bagaimanapun, selepas tiga jam kemudian, tukang urut terbabit curiga apabila melihat lelaki terbabit tidur lena di bilik berkenaan.
“Bimbang dengan keadaan itu, tukang urut menuju ke arah si mati dan memanggilnya namun tiada sebarang tindak balas. Dia kemudiannya menghubungi doktor berhampiran selepas tiada sebarang pernafasan berlaku ketika dia meletakkan jarinya ke hidung lelaki terbabit.
“Melalui pemeriksaan pegawai perubatan, mangsa dipercayai mati akibat masalah jantung, malah siasatan terhadap saudara maranya mengesahkan bahawa si mati mempunyai masalah kesihatan.
“Mayatnya dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

