ARAU – Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) perlu mendapatkan sijil pengesahan halal untuk meneroka pasaran di peringkat global, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah industri halal adalah antara kuasa baharu yang berkembang pesat di pasaran antarabangsa bernilai lebih RM7.6 trilion setahun.
“Pengusaha tempatan terutamanya di Perlis perlu merebut peluang itu dan terus kekalkan daya saing dengan mendapatkan pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri.
“Perolehan pengesahan ini dapat menarik pelanggan Muslim dan bukan Muslim untuk mengguna produk IKS tempatan,” titah baginda semasa merasmikan Festival Pemasaran Halal 2016 dan melancarkan iHALALMAS (Perlis) anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di Kompleks STAR UiTM Perlis di sini hari ini.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin, banyak negara bukan Islam kini mengutamakan produk halal kerana telah menyedari kualiti dan keselamatan produk halal.
Baginda bagaimanapun kecewa kerana statistik Jakim menunjukkan hanya sebilangan kecil pengusaha IKS mendapat sijil halal.
Sementara itu, baginda bertitah inisiatif pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Perlis menubuhkan iHALALMAS (Perlis) yang menawarkan khidmat latihan, penyelidikan, penganjuran program dan seminar mampu meningkatkan kefahaman usahawan mengenai kepentingan pengesahan halal.
Tuanku Syed Faizuddin berharap pengusaha tempatan lebih proaktif mengatur strategi pemasaran bagi memastikan produk mereka menembusi pasaran luar dan tidak dalam kalangan pengguna tempatan sahaja. – BERNAMA