MELAKA – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang melaksanakan kursus Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) untuk pegawainya bagi memperkasakan agensi yang menjadi pihak pertama menghadapi bencana.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rela Kamarudin Mohd Rapig berkata buat permulaan seramai 150 pegawai di lima zon melibatkan 14 negeri akan menghadiri kursus secara berperingkat bermula bulan ini.
“Seramai 30 pegawai dari setiap lima zon iaitu zon selatan melibatkan lima negeri, zon utara empat negeri, zon timur tiga negeri dan zon Sabah dan Sarawak akan dipilih mengikuti tiga kursus yang telah dirancang.
“Setiap pegawai terlibat akan dinilai dari aspek kesihatan serta kecergasan pada kursus asas dan hanya mereka yang berjaya melepasi latihan berkenaan akan dipilih meneruskan tahap latihan seterusnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menutup Kursus Asas CMT Pegawai Rela Siri 1/2016 di Akademi Latihan Rela Malaysia di Sungai Udang di sini, dengan 30 pegawai Rela zon selatan berjaya menamatkan kursus asas CMT yang berlangsung selama lapan hari bermula 13 Mei lepas.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata pegawai yang dipilih akan diberikan kursus asas menghadapi bencana dan krisis sebelum dihantar ke pusat latihan Rela bagi meneruskan kursus peringkat satu dan dua.
Beliau berkata kursus tersebut hanya dilaksanakan di peringkat pegawai kerana mereka akan bertindak sebagai ketua kepada anggota Rela di bawahnya.
“Namun Rela telah melatih 50 anggota di setiap daerah melibatkan 156 daerah di seluruh negara sebagai pembantu kepada pegawai Rela terbabit dalam setiap bencana atau krisis yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata latihan bagi kursus CMT berkenaan akan dijalankan dengan kerjasama beberapa jabatan penyelamat antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Katanya pelaksanaan kursus berkenaan selaras dengan usaha Rela mencapai teras 5K1P iaitu keselamatan, keamanan, kesejahteraan, keharmonian, kesatuan dan perpaduan. – BERNAMA

