JENAMA Lawak Ke Der yang merupakan cetusan idea selebriti Datuk Hans Isaac tidak perlu diperkenalkan lagi.
Sepanjang lima tahun ‘beroperasi’, Lawak Ke Der 2016 yang berlangsung sejak Jumaat lalu ternyata berjaya mengumpul pengikutnya yang tersendiri.
Masakan tidak, untuk hari pembukaan sahaja, Panggung Sari Istana Budaya sudah sold out tiket jualannya!
Pastinya perkembangan positif itu sesuatu yang cukup manis buat Hans Isaac dan team.
Memulakan persembahan tepat jam 8.30 malam, hos Lawak Ke Der 2016, Sherry Al-Hadad dan Nabil Ahmad mengambil tempat menghiburkan penonton dengan lawak spontan mereka.
Walaupun menggunakan bentuk fizikal Sherry sebagai ‘bahan lawak’ namun Sherry dan Nabil dilihat cukup serasi di antara satu sama lain.

Masing-masing tidak kekok dalam memberi dan menerima lawak yang dipertonjolkan oleh kedua-duanya.
Babak yang berjaya menggamit tawa keseluruhan penonton pastinya aksi menari ala ‘brek kecemasan’ yang digayakan Sherry sehingga dibahankan oleh Nabil.
Pentas kemudian diteruskan dengan lawak Raja Komedi Stand Up, Harith Iskander yang mempersembahkan lawak perbandingan filem seram di antara orang Timur dan masyarakat Barat.
Gamat pentas dibuatnya apabila Harith sudah mula beraksi!
Selepas Harith, Bocey yang dianggotai Abam, Fard dan Achey menghiburkan penonton dengan lawak imaginasi kereta mewah yang dinaiki mereka. Satu kelainan lawak yang boleh dibanggakan.
Kredibiliti ‘senior’ Lawak Ke Der seperti Douglas Lim dan Afdlin Shauki memang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Aksi bersahaja Douglas sahaja sudah pun membuatkan penonton tertawa mendengar percakapannya yang mahir berbahasa Melayu walaupun masih kedengaran pelat Cina! Thumbs up Douglas.

Memainkan isu lawak perpaduan dan perasaan berbangganya menjadi rakyat Malaysia, Douglas banyak memasukkan elemen lawak berbaur sindiran kepada negara jiran.
Menutup tirai malam itu, Afdlin menyelitkan unsur lawak ‘membahan’ rakan baiknya, Datuk Hans Isaac dengan mendendangkan lagu Betterman nyanyian Robbie Williams yang diubah lirik ke dalam bahasa Melayu.
Lirik-liriknya memang ‘terkena’ habis kat Hans! Haha..

Secara keseluruhannya, persembahan Lawak Ke Der kali ini lebih penuh pengisian lawak yang pelbagai daripada semua pelawak yang terlibat.
Untuk peminat Lawak Ke Der yang tidak berkesempatan menonton di Istana Budaya, jangan risau, anda boleh menantikannya di Astro yang bakal mengeluarkannya menerusi saluran Astro Box Office dalam masa terdekat ini. – MYNEWSHUB.CC