WARGA ibu kota London semalam menyaksikan satu pembaharuan dalam tampuk pimpinan bandar itu apabila melantik seorang Datuk Bandar daripada kalangan orang Islam.
Calon Parti Buruh, Sadiq Khan mencipta sejarah tersendiri di sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) apabila dipilih sebagai orang Islam pertama menyandang jawatan Datuk Bandar London.
Khan menang besar menewaskan pencabarnya iaitu Zac Goldsmith, calon dari Parti Konservatif bagi menggantikan datuk bandar sedia ada iaitu Boris Johnson yang juga dari Parti Konservatif.

Parti Buruh itu memperoleh 1,310,143 undi berbanding 994,614 mengalahkan Parti Konservatif dalam proses pengundian yang berakhir semalam.
Khan, 45, berbangga dengan warga London kerana memilih harapan dan perpaduan daripada ketakutan dan perpecahan dalam salah satu ucapannya selepas memenangi pilihan raya itu.
Difahamkan, Khan pernah bekerja sebagai peguam hak asasi manusia sebelum menjadi ahli politik pada 2005. Manakala ayahnya pula seorang pemandu bas dan juga merupakan pendatang berketurunan Pakistan.
Dalam kempen terakhirnya di sebuah pasar di daerah selatan London, Khan dilihat sempat beramah mesra dan berselfie bersama peniaga dan pelanggan di situ.

Namun Khan mengecam tindakan lawannya yang berkempen secara kotor dan bersifat untuk memecahbelahkan masyarakat serta menuduhnya gagal untuk mengecam pelampau Islam.
“Saya kecewa apabila Parti Konservatif dan Zac Goldsmith memutuskan untuk melakukan kempen negatif, memecahbelahkan yang bersifat terdesak.
“Saya berharap saya menang, saya akan menjadi datuk bandar yang menyatukan bandar ini semula dan membawa masyarakat di sini bersama-sama,” katanya.
Kemenangan beliau disambut baik oleh orang Islam di bandar itu yang menganggapnya sebagai mercu tanda kejayaan orang Islam, dalam pemerintahan di Britain. – MYNEWSHUB.CC

