MUMBAI – Kebakaran besar yang melanda sebuah depot peluru terbesar pasukan tentera di tengah India, awal pagi Selasa mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 askar maut, menurut laporan portal berita India Today.
Jurucakap kerajaan India menyatakan bahawa kebakaran terburuk itu dikesan bermula pada sekitar pukul 1.30 pagi waktu tempatan (4.30 pagi waktu Malaysia) dan ia hanya dapat dikawal kira-kira lima jam kemudiannya.
Gudang amunisi yang terbakar itu terletak di Pulgaon, dekat bandar Nagpur, di negeri Maharashtra, iaitu 1,112 kilometer dari selatan ibu negara New Delhi dan 692 kilometer dari ibu negeri Maharashtra, Mumbai.
Rakaman gambar yang disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan menunjukkan api kelihatan menjulang tinggi sehingga ‘menerangi’ langit malam di kawasan sekitar depot yang didiami oleh lebih 30,000 penduduk.
“Setakat ini 17 mangsa disahkan terkorban dan 19 orang lagi cedera, tiada orang awam terlibat,” kata Smita Patil, penguasa polis di bandar kecil Wardha, ketika dihubungi agensi berita antarabangsa Agence France-Presse.
“Usaha pemadaman masih berlangsung dan api telah berjaya dikawal daripada merebak ke tempat lain,” kata beliau. Namun laporan lain ada menyebut dua pegawai tentera dan 18 anggota Defense Security Corps terbunuh.
Ribuan keluarga yang tinggal di kawasan berhampiran telah diarah untuk berpindah dari sekitar gudang peluru dikenali sebagai Central Ammunition Depot itu, iaitu setor persenjataan kedua terbesar di benua Asia.

Dilaporkan, gudang yang terbakar itu sebenarnya merupakan pusat amunisi terbesar di India. Agensi berita rasmi India, Press Trust of India, pula telah mengesahkan 20 anggota tentera negara tersebut sebagai maut.
Sementara itu, rangkaian stesen berita tempatan popular NDTV menyatakan, kepulan api besar dilihat semakin menjulang tinggi setelah terjadi beberapa siri letupan di dalam depot amunisi tentera India tersebut.
Petugas bomba terpaksa menggunakan 10 buah jentera pemadam kebakaran. Mereka juga dilaporkan bekerja keras sepanjang lewat malam hingga waktu subuh untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berdekatan.
Ramesh Barde, petugas bomba dari wilayah Nagpur yang terlibat dalam misi pemadaman api itu menjelaskan bahawa pihak bomba terlambat sejam tiba di lokasi kejadian atas pelbagai sebab tidak dinyatakan.
“Kebakaran dahsyat tersebut dipercayai mulai terjadi pada pukul 1.30 pagi. Pasukan bomba terawal dari balai yang paling dekat pun baharu sahaja sampai di lokasi kebakaran sekitar pukul 2.30 pagi,” tambah beliau lagi.
Api ujar Ramesh sudah dapat dikawal sekitar pukul 6.15 pagi (9.15 pagi waktu Malaysia). Panglima angkatan tentera India, Jeneral Dalbir Singh dilaporkan turut meninjau keadaan depot selepas kebakaran itu selesai dipadam.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam kicauan Twitter telah mengarahkan Menteri Pertahanan, Manohar Parrikar melawat kawasan gudang itu untuk membuat penilaian insiden. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

