LONDON – Jika dahulu, pesakit gigi hanya jumpa doktor gigi jika giginya rosak perlu dicabut atau untuk bersih karang di celah gigi, namun kini kajian terbaharu mendapati ia disebabkan oleh trend selfie khasnya dalam kalangan remaja.
Apa sebabnya? Ketika memetik gambar selfie, seseorang lazimnya golongan wanita muda pada kebiasaannya akan melemparkan senyuman amat lebar sehingga mendedahkan gigi mereka waima yang sedang memakai pendakap.
Bagaimanapun, oleh kerana sukar untuk memegang kamera pada posisi yang tepat selain jarak antara wajah dan kamera agak terlalu dekat, gigi itu akan kelihatan begitu aneh atau sangat besar dalam gambar selfie tersebut.
Bahagian tengah gigi, terutamanya kelihatan terlampau besar dalam foto selfie. Bahkan ini membuat sesetengah orang kurang puas hati dengan penampilan diri sendiri, sehingga sanggup ke doktor gigi demi mencantikkan gigi.
Secara realiti, ternyata anggapan bahawa gigi mereka kurang sempurna adalah tidak benar, dan ia hanya kelihatan begitu ‘pelik’ dalam gambar yang dirakamkan secara selfie sahaja berbanding rakaman dalam bentuk potret pegun.
Akhbar Britain, The Mirror melaporkan, doktor gigi tempatan Tim Bradtock-Smith dari London Smile Clinic berkata, semakin ramai orang jumpa doktor gigi kerana menganggap gigi kelihatan terlalu besar dan seperti kuda.
Namun sebenarnya hal itu tidak benar dan cuma kelihatan sedemikian ketika mereka memetik selfie. Beliau cuba meyakinkan para pesakitnya bahawa ‘gigi terlalu besar’ itu hanyalah kesan daripada mengambil gambar selfie.
Dr. Bradtock-Smith menjelaskan bahawa seseorang itu ada dua gigi paling depan yang berada dalam posisi lebih dominan, hingga menyebabkan lekukan dan penampilan lebih cantik serta tampak muda ketika wajah tersenyum.
Bagaimanapun ketika memetik selfie, dua gigi depan itu yang sebenarnya sudah pun sempurna, akan kelihatan terlalu besar seolah-olah macam bentuk gigi kacip seekor arnab comel atau lazim juga disebut sebagai jongang.
Klinik Dr. Bradtock-Smith menyaksikan peningkatan kira-kira 30 peratus sepanjang lima tahun lalu pada pesakit khasnya golongan remaja yang menganggap mereka ada masalah gigi hadapan setelah memetik gambar selfie.
Selain berusaha menasihati mereka bahawa mereka tidak mengalami sebarang masalah pada gigi mereka, pesakit sedemikian juga diberikan saranan cara mengambil gambar selfie dengan lebih tepat dalam sudut posisi betul.
Untuk memetik selfie secara sempurna, cuba letakkan kamera pada jarak cukup tepat dengan diri anda dan penggunaan selfie stick juga dapat membantu agar kamera itu tidak diletakkan terlalu hampir dengan wajah.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA