KUALA LUMPUR – Pengurus dan Ketua Jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez mempersoalkan cara jurulatih-jurulatih dalam pasukan kebangsaan yang diketuai Datuk Ong Kim Swee melatih para pemainnya dalam skuad kebangsaan.
Dakwanya, beliau kecewa kerana prestasi pemain JDT pasti akan merundum setiap kali mereka kembali daripada berkhidmat untuk pasukan negara menyebabkan beliau terpaksa memperbaiki semula mutu pemain JDT terbabit.
“Masalah terbesar saya adalah setiap kali pemain kembali dari khidmat negara, prestasi mereka merudum. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan di sana. Ini berlaku setiap kali apabila mereka bermain untuk pasukan kebangsaan.
“Setiap kali mereka pergi, sama ada mereka kembali dengan kecederaan atau prestasi mereka merudum dan ia mengambil masa untuk mereka kembali semula ke tahap yang sepatutnya. Saya tidak faham bagaimana cara jurulatih-jurulatih bekerja dalam pasukan kebangsaan,” dakwanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi JDT hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kegagalan pemainnya memastikan gawang gol JDT tidak bocor walaupun berjaya menewaskan pasukan PDRM 5-2 dalam aksi Piala FA 2016 di Stadium Larkin malam tadi.
JDT mendahului dengan jaringan 4-0 semasa separuh masa pertama perlawanan tetapi pasukan PDRM berjaya menjaringkan dua gol pada masa separuh kedua sebelum pemain import JDT menyumbat satu lagi gol tambahan untuk pasukannya.
Sebelum perlawanan itu berlangsung, beberapa pemain JDT terlebih dahulu dipanggil mewakili pasukan negara untuk aksi persahabatan dengan pasukan Macau yang berkesudahan dengan keputusan seri 0-0.
“Saya gembira dengan keputusan kami, tetapi saya tidak gembira kerana kami melepaskan dua gol yang sememangnya berpunca daripada kesilapan kami,” kata Gomez. – Mynewshub.cc