KUANTAN – Penggantungan jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria selama tujuh bulan memberi kesan mendalam terhadap pasukan itu sehingga menjejaskan rentak permainan mereka ketika menentang pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana malam semalam.
Pengurus pasukan, Datuk Wan Solihi Wan Hassan berkata selain masalah itu, pasukan The Seagulls itu turut dihantui kecederaan yang dialami beberapa pemain utamanya menyebabkan mereka tewas 1-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur.
“Kita rasa sedikit malang kerana beberapa pemain utama mengalami kecederaan sehingga tidak dapat diturunkan. Ini menyebabkan Kuantan FA gagal beraksi dengan baik sehingga tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur.
“Lebih memberi kesan apabila jurulatih, Zulhamizan Zakaria tidak berada di bangku pemain mengakibatkan moral dan permainan pasukan menurun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Wan Solihi berkata pihaknya akan berusaha untuk membuat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengurangkan tempoh penggantungan jurulatih itu bagi meningkatkan kembali prestasi pasukannya yang kini terumbang-ambing.
“Kami merasakan hukuman penggantungan selama tujuh bulan ke atas Zulhamizan terlalu lama, jadi kami akan cuba membuat rayuan untuk dipendekkan kepada dua bulan.
“Kuantan FA merupakan satu pasukan kerdil di mana kami mengeluarkan peruntukan sendiri dan apabila terjadi situasi seperti ini ia begitu mengecewakan walhal kami berupaya untuk pergi lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata pengurusan Kuantan FA amat memerlukan khidmat Zulhamizan untuk menerajui pasukan kerana ia tidak mahu prestasi hambar musim lalu berulang apabila tidak memiliki jurulatih yang berkebolehan.
“Justeru, saya berharap rayuan yang dilakukan kelak dapat dipertimbangkan oleh FAM demi pembangunan bola sepak tempatan,” katanya.
Baru-baru ini, Zulhamizan digantung tujuh bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak berkuat kuasa serta-merta dan didenda RM3,000 selepas berkelakuan liar dalam dua aksi Liga Perdana.
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapati Zulhamizan bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil semasa aksi antara Kuantan FA dan UiTM FC di Stadium UiTM FC, Shah Alam, 26 Feb lepas.
Zulhamizan turut didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan sewaktu perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Mac lepas. – BERNAMA