MIRI – Golongan pelajar berumur 20 tahun ke bawah, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) layak menikmati kemudahan percuma di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) berkuat kuasa 1 April lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata bagi pelajar sekolah, ia akan dapat membantu mereka dalam proses pembelajaran dan mencari maklumat tambahan.
Beliau berkata pelajar universiti pula boleh menggunakan khidmat percuma dengan syarat mereka mempunyai kad pelajar, katanya semasa merasmikan PI1M Niah-Suai di Kampung Sepupok di sini hari ini.
Jailani berkata inisiatif yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu kini menyediakan perkhidmatan Internet dengan kelajuan 4Mbps.
Di Sarawak, beliau berkata setakat ini tahun ini, sebanyak 94 PI1M sudah beroperasi manakala 18 lagi sedang dalam pembinaan.
Mengenai PI1M Niah-Suai, beliau menyaran penduduk agar memanfaat kemudahan tersebut dengan menceburi bidang perniagaan.
“Kesan akibat kenaikan kos sara hidup sekarang boleh dikurangkan dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan on-line yang semakin popular,” katanya dan menambah ia juga boleh memberi latihan keusahawanan secara dalam talian kepada usahawan dan bakal usahawan.
Beliau berkata kerajaan akan meningkatkan lagi peranan PI1M dengan menjadikannya sebagai pusat perpaduan dengan mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sosial. – BERNAMA

