KUALA LUMPUR – “Kesemua 13 calon Parti Amanah Negara (PAN) bebas daripada status bankrap, tuduhan atau rekod jenayah dan lain-lain yang boleh melucutkan kelayakan mereka untuk bertanding”
Demikian pengumuman Biro Undang-Undang PAN hari ini yang seolah-olah menyindir Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana dua calon parti itu tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Timbalan Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, kesemua calon PAN yang bertanding di 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai sebarang masalah daripada segi kelayakan
“Biro Undang-Undang PAN berpuas hati dengan perjalanan PRN Sarawak setakat proses penamaan calon yang dijalankan pagi tadi.
“Bagi kesemua calon PAN yang bertanding di 13 kerusi DUN, mereka tidak mempunyai sebarang masalah daripada segi kelayakan untuk dicalonkan bertanding di kerusi DUN masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
PKR hari ini berang dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) tanpa bertanding di kerusi N82 Bukit Sari dan akan mengambil tindakan keatas calonnya untuk kawasan itu.
Pengarah Operasi Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Ismail Yusop dipetik berkata, pihaknya memohon maaf ke atas semua penyokong PKR di atas perkara itu.
“Calon (PKR) N82 Bukit Sari tidak hadir ke pusat penamaan pagi ini tanpa sebarang alasan.
“Kami amat kecewa dengan perubahan keputusan pada saat-saat terakhir ini dan kes ini akan dirujuk kepada jawatankuasa displin (PKR),” katanya.
Ismail dalam pada itu merakamkan kekesalan yang mendalam ke atas satu lagi kerusi yang didakwa telah dimenangi BN tanpa bertanding iaitu N04 Pantai Damai. – Mynewshub.cc