SEORANG wanita muda, Sunny Shokrae telah mendedahkan bahawa kebanyakan wanita yang berasal dari Iran begitu obses dengan pembedahan plastik hinggakan dia sendiri pernah diminta oleh ibunya untuk menjalani pembedahan hidung.
Sunny, merupakan seorang jurugambar, berasal dari Iran dan telah berpindah ke Amerika Syarikat (AS) ketika berusia lima tahun.
Iran dikenali sebagai negara yang terkenal dengan pembedahan hidung hinggakan ada statistik menunjukkan bahawa jumlah mereka yang melakukan pembedahan plastik itu adalah tujuh kali lebih tinggi daripada AS.

Ini kerana terdapat kepercayaan dalam budaya di sana bahawa pembedahan itu akan membolehkan mereka mendapat suami yang kaya.
“Kanak-kanak perempuan telah diberitahu untuk menukar hidung mereka supaya mereka boleh berkahwin. Mereka fikir dengan cara itu ia dapat memberikan kehidupan yang lebih baik.
“Itulah cara penduduk Iran,’’ kata Sunny.
Bagaimanapun Sunny berkata di sebalik trend tersebut, Iran merupakan sebuah tempat yang menarik.
Sunny turut mendedahkan ketika kecil dia tidak mahu mengaku sebagai orang Iran sebaliknya sering berharap dia adalah kanak-kanak kulit putih bernama Amy.
“Ia mengambil masa yang sama untuk saya menghargai perbezaan itu. Saya tidak pernah terfikir untuk membedah hidung kerana pada akhirnya, siapa yang akan peduli,’’ katanya. – MYNEWSHUB.CC