KUALA TERENGGANU – Sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, kerajaan negeri kini membuka beberapa kawasan selamat di Pantai Batu Buruk.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kawasan pantai selebar 100 meter dan sejauh 50 meter dari darat akan dibuka pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu dari pukul 4 hingga 7 petang malam bermula minggu ini.
“Kita turut sediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan keselamatan pengunjung. Buat permulaan akan ada anggota JPAM dan sukarelawan yang akan memantau selain disediakan menara peninjau, jet ski dan bot yang akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita semalam ketika meninjau kawasan pantai.
Beliau berkata kemudahan lain yang disediakan termasuk kolam mandi yang diisi air laut untuk kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.
Ahmad Razif berkata inisiatif tersebut diharap akan meningkatkan kedatangan pelancong bagi memenuhi sasaran enam juta orang tahun ini.
“Insya-Allah kalau projek ini berjaya di Pantai Batu Buruk, ia akan dikembangkan ke pantai di seluruh negeri termasuk di Pantai Bukit Keluang di Besut,” katanya. – BERNAMA