SEORANG ahli politik Sweden beragama Islam mengambil keputusan mengundurkan diri dalam bidang politik selepas dikritik enggan bersalaman dengan seorang wartawan wanita yang membuat liputan mengenainya, baru-baru ini.
Yasri Khan merupakan ahli politik kedua dari Green Party yang meletakkan jawatan atas alasan yang sama.
Dalam sesi temubual dengan wartawan dari stesen TV4 itu, Yasri hanya meletakkan tangannya di bahagian dada, tidak bersalam seperti biasa yang dilakukan untuk menunjukkan hormat kepada orang lain.
“Kita boleh menunjukkan cara hormat dengan berbagai cara. Perkara yang penting ialah menunjukkan rasa hormat dengan cara bertentang mata dengan individu yang ditemui pada ketika itu,” katanya mengulas mengenai insiden itu.
Sejak insiden itu, Yasri telah menerima kecaman hebat daripada pesaing politik yang menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan.
Seorang ahli parlimen yang mewakili parti sama dengan Yasri, Stina Bergstrom turut mengkritik perlakuan itu dengan berkata: “Perkara itu tidak boleh diterima.
“Parti kita tidak seharusnya mempuyai seorang ahli parti yang tidak boleh menerima salam seorang wanita sama seperti mana cara dia bersalam dengan orang lelaki. Saya sangat sedih dengan insiden itu”.
Sebelum ini, Menteri Perumahan, Mehmet Kaplan meletakkan jawatan selepas dikritik kerana membuat kenyataan media yang menghentam Israel di atas penganiayaan mereka terhadap penduduk Palestin. – MYNEWSHUB.CC

